Mei 20 2017 0

Kerajaan Struktur Semula SEDIC Sebagai Pelaksana Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Kerajaan bersetuju menstruktur semula Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang bertindak sebagai entiti pelaksana kepada Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini, proses itu melibatkan perubahan skop tugas dan penambahan saiz tenaga kerja dengan 58 jawatan sepenuh masa.

“Peranan dan fungsi unit-unit sedia ada iaitu Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF), Sekretariat Khas Bagi Memperkasakan Usahawan India (SEED) dan Unit Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil (PTST) akan diserapkan ke dalam entiti pelaksana baharu ini,” kata kenyataan itu.

Pada 23 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dirangka untuk membantu masyarakat berkenaan terutama golongan B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah).

Menurut kenyataan itu, agensi pelaksana tersebut akan dipimpin oleh seorang ketua pengarah dan dibantu seorang timbalan ketua pengarah.

Enam bahagian telah ditubuhkan di bawah entiti itu untuk menyokong usaha pelaksanaan sasaran yang telah ditetapkan oleh pelan tindakan tersebut termasuk Bahagian Pendidikan dan Pembangunan Belia, Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Modal Insan dan Bahagian Kebajikan dan Pembangunan Sosial.

Turut ditubuhkan adalah Bahagian Identiti dan Keterangkuman, Bahagian Penyelidikan dan Amalan Terbaik dan Bahagian Projek Khas.

Kenyataan itu menyebut peranan SITF akan diselaraskan semula untuk berfungsi sebagai agensi touch point antara kerajaan dengan masyarakat India melalui penubuhan 10 pusat perkhidmatan SITF di kawasan yang mempunyai populasi kaum India yang tinggi.

Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah bersetuju dengan pelantikan Prof Datuk Dr N.S. Rajendran sebagai Ketua Pengarah SEDIC yang akan berkuat kuasa pada 22 Mei ini.

Najib sebelum ini telah mengumumkan pelantikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India (CCIC) yang jawatankuasa itu berperanan memantau SEDIC.

Jawatankuasa tersebut akan bersidang sebulan sekali untuk menyelesaikan cabaran dan isu-isu pelaksanaan antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat yang telah dikenal pasti oleh SEDIC.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri berkata Najib akan terus mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Bagi Mengenal pasti dan Memantau Penyertaan Masyarakat India di dalam program dan projek-projek kerajaan yang akan bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun untuk memantau kemajuan pelaksanaan dan cabaran yang dihadapi dalam proses pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia.

“Pelantikan-pelantikan ini akan menggerakkan komitmen dan usaha murni kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat India,” kata kenyataan itu lagi.

— BERNAMA

You Might Also Like